Rabu, 7 Mac 2012

BUAT ANAKKU MUHAMMAD TAMIEM DAARIYY

Buat Tamiem yang Ummi sayangi,

Tamiem,
  Kehadiran Tamiem dalam hidup Ummi cukup membahagiakan Ummi.Sewaktu Ummi mengandungkan Tamiem,Ummi rasa macam tak percaya yang Ummie sedang hamil.Mungkin juga ini disebabkan kali pertama hamil,lagi pula Ummi baru berumur 17 tahun,terlalu muda bagi 'zaman' Ummi.Apa yang pasti,Ummi gembira dan syukur sebab anak yang Ummi kandung ini dari 'cinta' seorang insan yang Ummi sangat-sangat sayang,yang banyak berjasa kepada Ummi.Siapa lagi,tentulah Abuya Tamiem.
Ini laa Tamiem masa umur 3bulan..(2002)...HUrmmm kecik-kecik lagi Ummi dah pakaikan serban!..Heheheh  
  Sewaktu Ummi melahirkan Tamiem,itulah kali pertama Ummi merasai peritnya seorang ibu bertarung nyawa untuk melahirkan seorang bayi.Ummi merasakan semua itu.Sesungguhnya segala puji-pujian itu hanya bagi Allah SWT,kelahiran Tamiem cukup mudah.Ummi bersyukur padaNya,Ummi dan Tamiem selamat.Kegembiraan Ummi semakin bererti apabila Abuya sentiasa ambil berat tentang Ummi dan berada di samping sejak Ummi mula-mula hamil hinggalah Ummi melahirkan.
  Apabila Tamiem lahir,Ummi dapat dengar tangisan pertama Tamiem tapi Ummi tidak dapat melihat Tamiem.Sn Zainab cuma menunjukkan sekilas saja kelibat Tamiem.Tamiem perlu dibersihkan segera.Antara Ummi dan Abuya,Abuyalah lebih dahulu menatap wajah Tamiem dan melaungkan Azan dan Iqamah di telinga Tamiem.
  Apa yang Ummi sedihkan,Ummi tidak dapat menyusukan Tamiem dalam tempoh beberapa jam,Ummi menangis.Tamiem tidak pandai buka mulut lagi,lagi pula mulut Tamiem kecil macam mulut Ummi.Alhamdulillah dalam jam 10.00pm barulah Tamiem dapat menyusu.Sedangkan Tamiem lahir jam 5.45pm (Jumaat) lagi.Masa tu.Ummi sedih sangat-sangat,ummi keseorangan,pihak Hospital tidak benarkan keluarga menunggu pesakit.Jadi terpaksalah Ummi uruskan seorang diri dan malam itu,Ummi tidur dengan bayi Ummi yang sangat comel.Ummi tatap wajah Tamiem dan malam itulah baru Ummi dapat tatap wajah Tamiem sungguh-sungguh.Malam itu juga,Ummi tak dapat lelap mata.Nostalgia bersalin masih bermain di minda Ummi.Kesakitannya terigau-igau.Selepas melalui semua itu barulah Ummi dapat rasakan sendiri keperitan seorang ibu,dari mengandung hingga melahirkan dan yang bakal ummi tempuhi iaitu,mendidik,menjaga dan mengasuh.Kini tamggungjawab Ummi semakin bertambah.
  Tamiem adalah amanah dari Allah SWT kepada Ummi dan Abuya.Jadi Ummi perlu mencorak yang terbaik untuk Tamiem. Ummi tahu,tanggungjawab Ummi ini sangat besar dan Ummi mesti mendapat keredhaan Allah SWT dalam mendidik Tamiem.
  Semoga Allah SWT kurniakan Ummi dan Abuya kekuatan,petunjuk dab taufiq untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah SWT.

Sekian.

Yang Benar,
Ummu Tamiem
Muhammad Tamiem Daariy bersama adik-adiknya,Abdullah Quhaafah,Muhammad Uwaiys Qarnie dan Abdurrahmaan Nauwfal)
(Nuur Muslimatusy Syahidah, Julai 2002,Parit Buntar,Perak)
  

AKU TAK BERDAYA TUHAN!

  

Meneruskan kehidupan ini,

adakalanya aku tidak mampu,cuma ku pohon padaMu Tuhan,
berilah aku keimanan yang teguh,
kerana iman adalah segala-galanya.
Apa yang amat berharga,
adalah taufiq dariMu dan tinggi nilainya hidayah dariMU.


Aku terlalu rindu ya Allah,

untuk menjadi perinduMu,
Sungguh sukar ujianMu ini,
lebih sukar dari ujianMu untukku suatu ketika dulu,
Aku tidak mahu terus terulit dengan kesenangan dunia ini.


Jangan biarkan aku Tuhan,

jangan tinggalkan aku,
Bawalah aku mengenal CintaMu,
agar tenang jiwaku ini,
yang selalu lalai dan alpa dari mengingatiMu.


Apa yang kurasakan,

aku semakin menjauh dariMu,
Kurniakan hambaMu ini taufiq dan hidayah serta keimanan yang teguh padaMu,
Tuhan......Ampuni dosa-dosaku,
Allah cinta teragung.










(Nuur Muslimatusy Syahidah,26/05/2005,Sentul,Kuala Lumpur)

Khamis, 24 November 2011

WANITA ISLAM BEKERJA DI LUAR RUMAH: Tugas Asal, Syarat dan Realiti


 
     Assalamualaikum w.b.t buat semua sahabat. Alhamdulillah, dapat juga saya buka blog ni. Adusss.... sepagi hari ni hampir 'bengang' sebab tak dapat buka. Alhamdulillah, hari ni baru ada masa sikit untuk saya kongsikan satu artikel yang sangat bagus untuk pengetahuan kita sebagai hamba Allah yang bernama wanita. Satu 'kejadian' yang dasyat sebenarnya apabila kita sebagai wanita lupa peranan kita sebenar di sisi Allah SWT , Rasulullah SAW, suami, anak-anak dan seluruh aspek kehidupan, bahkan dalam masyarakat juga.

   Artikel di bawah ini sangat bagus untuk kita renung dan fikir kembali asal kejadian wanita dalam erti kata sebenar.Ye,masing-masing ada pendapat dan pendirian sendiri, itu terpulang pada sahabat semua, saya hormati. Perkara ini sudah lama saya bermain di minda saya, cuma saya tidak pandai sangat hendak luahkan dan terjemahkan.

    Pada awalnya seperti remaja-remaja lain, saya punya cita-cita tinggi untuk ke Universiti dan berkerjaya seperti kebanyakan wanita-wanita yang ada sekarang tapi cita-cita itu hilang apabila saya mula faham kehendak Allah juga Agama sebenar. Saya mula bercita-cita untuk menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar diredhainya dan semoga dapat jadi 'bidadari' di dunia dan akhirat juga, insyaAllah.

   Jadi bukan matlamat saya lagi untuk jadi wanita berkerjaya. Banyak yang difikir apabila saya berkerjaya nanti, setelah nikah bagaimana hak suami dan anak-anak dapat ditunaikan? Pahala berganda di rumah, saya akan terlepas.Walaupun setiap kerja yang kita buat ada pahala apabila kita ikhlas tapi, pahala berkhidmat di rumah, layan suami, didik anak-anak dan agama tidak ternilai berbanding khidmat-khidmat yang lain. Satu lagi tentang pergaulan lelaki dan perempuan, saya sangat tidak selesa.

   Setelah kenal serba sikit tentang agama Allah dan CintaNya yang Agung, saya banyak berfikir dan banyak 'merenung' kembali cara hidup Nabi SAW di zaman Baginda, bagaimana cara hidup isteri-isteri dan para sahabiyah.

   Bahkan bab nikah pun, sebelum kenal Allah dan Sunnah Nabi SAW saya rasa kerja nikah kahwin masih jauh ketika itu. Dalam kepala nikah tu paling awal pun umur 25 thn ,ye lah saya nak 'enjoy' dulu nak belajar tinggi-tinggi dulu. Tapi apabila dah faham situasi sebenar dalam Islam, saya mula fikir nikah itu adalah keutamaan sebagai seorang wanita.

   Ketika usia remaja usah dinafikan rasa untuk bercinta dan sifat keibuan mula menonjol di kala ini,cuma kita terperangkap dengan sogokan pendidikan barat yang kita masih muda untuk fikir tentang hal itu.Padahal itu adalah umur yang sangat digalakkan untuk menikah dalam Islam.sebenarnya hikmahnya terlalu banyak dalam soal nikah bagi wanita.Rasanya tak perlu saya jelaskan kelebihan-kelebihannya tu.

   Alhamdulillah,Allah makbulkan juga saya nikah di usia yang diimpikan. Apabila keajaiban ini berlaku pada diri saya, saya terkedu tak mampu untuk meluahkan apa-apa. Alhamdulillah di usia 17thn saya di nikahkan dengan insan 'pilihan Allah' dan di usia 18thn saya sudah bergelar seorang ibu. Kini saya adalah ibu kepada 4 anak lelaki.

   Sebenarnya banyak langkah-langkah saya yang mungkin agak drastik bagi sesetengah orang ketika itu (di usia remaja) termasuklah dalam bab furdah, tinggalkan Sekolah Menengah dan macam-macam lagilah.

   Setiap ujian yang ditempuhi walaupun jerih,apa yang saya tahu,semuanya tu adalah tarbiyyah daripada Allah SWT. Sebagai insan biasa yang selalu berperang dengan nafsu, saya tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Mohon maaf kalau artikel ini sangat tidak menyenangkan sahabat, semoga bermanfaat.

Wallahu'alam.

  Artikel di bawah ini untuk perkataan ''saya'' itu bukan mewakili saya 'Bidadari Hisham' ,artikel ini adalah terjemahan dari sebuah majalah. Selamat membaca dan berfikir. (^__^) Semoga bermanfaat.















Sumber: Terjemahan dari Majalah Al Izzah, Lubnan. Edisi ke 8.


    Belajar di peringkat menengah, kemudian ke universiti, setelah itu bekerja sepenuh masa dan kemudiannya ‘double shift”, perkahwinan dan melahirkan anak tidak termasuk keutamaan saya! Saya berkahwin ketika berusia 25 tahun dan dianugerahkan dua orang anak yang jarak usia antara keduanya tidak lebih dari sebelas bulan hingga saya terpaksa berhenti kerja. Keadaan saya yang meninggalkan alam pekerjaan itu menyebabkan pada masa ini saya berhadapan dengan banyak tekanan dari masyarakat, suatu perkara yang menjadikan saya ragu-ragu terhadap kebenaran keputusan yang telah saya buat. Semua ini mendorong saya untuk melakukan penyelidikan berkenaan topik: “Wanita bekerja di luar rumah”. Soalan ini selalu membelenggu saya; adakah apa yang saya usahakan dalam pekerjaan saya ini untuk merealisasikan kepuasan diri, kebahagiaan palsu atau hakiki?


   Untuk menjawab persoalan ini saya mesti memahami sebab saya berusaha dalam pekerjaan saya sepanjang hidup saya. Lalu saya sampai kepada jawapan bahawa sebabnya adalah kembali kepada konsep-konsep yang saya ambil dari persekitaran hidup saya dan juga rakan-rakan sebaya saya. Konsep-konsep ini dapat disimpulkan pada wanita itu tugas asalnya adalah seorang pekerja, bukan ibu ataupun pengatur rumahtangga. Tugas dan gaji khususnya itulah yang akan merealisasikan kepuasan dirinya dan kebahagiaannya. Saya tidak mencela kedua ibu bapa saya kerana telah mendidik saya dengan konsep-konsep yang salah ini kerana ini merupakan natijah semulajadi yang terhasil kerana umat berhadapan dengan perang budaya kapitalis secara luarbiasa dengan pelbagai cara dari media, iklan, episod drama dan juga filem-filem, metodologi pendidikan dan program kebudayaan, pimpinan pemikiran dan politik yang disuburkan melalui tapak tangan Barat dan dipelihara dengan baik oleh mereka, barangkali juga dalam asuhan mereka.


    Sementara kita umat Islam ini sesungguhnya menjadikan syariat sebagai tolok ukur perbuatan kita. Agar kita dapat mengeluarkan sesuatu hukum syarak, kita hendaklah mengetahui realiti supaya hukumnya dapat diterbitkan. Oleh itu kita bermula dari awal dengan mengetahui kewajipan asal bagi wanita kemudian baru beralih pada kewajipannya sebagai isteri, hukum syarak berkenaan tugasnya, syarat-syarat ia bekerja di luar rumah dan masalah sebenar berkaitan tugas ini.


Hukum asal wanita itu adalah menjadi ibu dan pengatur rumahtangga. Ia adalah kehormatan yang wajib dijaga:

  Sesungguhnya perkataan pengatur rumahtangga tidak bermaksud bahawa wanita adalah pembantu rumah ataukhadam bahkan ia bermaksud bahawa wanita adalah pengurus rumahtangganya dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya sepertimana yang disebutkan dalam hadith:


   Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap dari kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya.”


   Maka wanita adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya. Dia merupakan pemimpin dalam mendidik anak-anaknya, dalam mengajarkan mereka, membaguskan akhlak mereka, membina pemikiran mereka. Supaya wanita dapat melakukan peranan ini, dia hendaklah menyiapkan dirinya dengan menuntut ilmu dan pengetahuan syarak dengan kadar yang diperlukannya dan yang membolehkannya melaksanakan kewajipan ini. Lelaki pula, sama ada bapa, abang atau suami wajib menyediakan perkara-perkara tersebut untuknya. Sementara keadaan dirinya yang merupakan kehormatan yang wajib dijaga, Islam telah menjadikan kematian dalam rangka memelihara kehormatan ini sebagai syahid. Manakala fungsinya sebagai ibu adalah dirinya yang merupakan tiang dalam membina keperibadian adalah satu perkara yang bukan teori atau khayalan. Allah SWT ketika hendak memberikan contoh kepada orang-orang yang beriman, memilih untuk mencontohkannya dengan seorang wanita “Dan dijadikan contoh oleh Allah kepada orang-orang yang beriman, isteri Firaun” kemudian Dia berfirman: “Dan Maryam anak Imran”. Hal ini meskipun menunjukkan kepada sesuatu perkara, ia sesungguhnya menunjukkan keagungan peranan wanita dalam membina keperibadian-keperibadian. Demikian juga apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW: “Ambillah setengah agama kamu dari al-Humaira’ ini, iaitu ummul mu’minin Aisyah.”


   Tidak ragu lagi bahawa hal ini menetapkan tanggungjawab atas wanita, iaitu hendaklah ia pertama-tama sekali melihat kepada dirinya dengan pandangan yang mendalam, yang benar hingga dia dapat melihat dan merasakan keagungan tempatnya dalam Islam dan memahami bahawa ia merupakan nadi kehidupan dalam keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya dia berkhidmat kepada urusan rumah dan kebaikan keluarganya, dan dialah yang bertanggungjawab supaya Allah itu dingati dengan banyak di rumahnya. Allah disucikan dan dipuji pada pagi dan malam hari di rumahnya. Solat dilaksanakan, dan al-Qur’an pula dibaca di dalamnya. Sementara anak-anaknya pula dididik seperti ia mendidik dirinya untuk memikul dakwah, ketaatan, berkorban dan memberi di jalan Allah, sementara gangguan dari manusia atau pihak pemerintah tidak dapat memudaratkannya.


   Sesungguhnya kewajipan isteri terhadap suaminya banyak sekali sepertimana jua tanggungjawab suami terhadapnya. Belum dikira lagi semua kewajipan syaraknya sebagai manusia; seperti solat, puasa, zakat, haji, berlaku benar, menunaikan amanah, menutup aurat, taat kepada suami, berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahmi, menuntut ilmu, muhasabah pemerintah, jihad defensif, melakukan amar ma’ruf nahy munkar, memikul dakwah, membai’at pemimpin umat Islam, melazimi berbuat taat dan banyak lagi. Ini adalah sebahagian kefardhuan yang berkaitan dengan wanita dan yang meliputi semua aspek kehidupan termasuk: ibadat, muamalat, uqubat, makanan, pakaian dan akhlak. Oleh itu, peranan wanita Islam tidak terhad di rumah sahaja meskipun keibuan dan tugasnya di rumah adalah tugas asalnya, tetapi menjangkau kepada semua aspek kehidupan Islam.


Kewajipannya sebagai isteri boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Mentaati suami dalam perkara kebaikan:

a. Rasulullah SAW telah memerintahkan hal tersebut: “Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, ia akan masuk syurga.”


b. Allah SWT juga berfirman: “Seorang lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita dengan kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan terhadap harta yang dinafkahkan oleh mereka.” Juga, “Dan bagi lelaki itu satu darjat atas kaum wanita.” Kepimpinan suami atas isterinya adalah kepimpinan berupa pemeliharaan, bukan kepimpinan pemerintahan. Si isteri diwajibkan untuk taat. Suami wajib menafkahinya mengikut yang makruf dan memerintahkannya dengan perkara yang membawa kepada mentaati Allah Ta’ala dan si suami tidak sekali-kali memiliki kuasa ke atasnya jika dia memerintahkannya untuk berbuat maksiat kepada Allah. Na’uzubillah.


c. Memelihara kemuliaannya serta perasaannya dengan menjaga matanya, telinganya dan perasaannya. Janganlah dia melihat pada isterinya, di rumah selain yang dapat menyukakannya dan tidak mendengar melainkan perkataan yang diredhai dan juga tidak menerima tetamu yang tidak disukai oleh suaminya.


d. Menjaga agamanya dan kehormatannya. Hal itu dilakukan dengan menjauhkan diri dari bertabarruj dan menayang dirinya kepada lelaki asing di dalam dan luar rumah. Seorang wanita tidak akan menunjukkan perhiasannya melainkan kepada suaminya. Wanita solehah adalah yang sentiasa beribadat kepada Allah, memastikan agar suaminya menerapkan Islam pada dirinya, keluarganya dan hidup dengan dakwah dan tingkahlaku Islam.


2. Melaksanakan pengurusan rumah tanggga menerusi:

a. Berkhidmat kepada suami dan menunaikan permintaannya yang berupa perkara maknawi dan materi.


b. Memerhatikan pandangan serta pendengaran suami agar sentiasa melihat rumah dalam keadaan bersih, teratur dan sebagainya


c. Menjaga harta suaminya dan memeliharanya meski apa jua jenisnya. Ia tidak boleh membelanjakan harta suaminya tanpa izinnya.


d. Berusaha untuk memperoleh keredhaannya dan memasukkan rasa gembira dalam hatinya. Jika dia pulang ke rumah, disambut dengan keadaan bersih dan berhias.


3. Mendidik dan membesarkan anak-anak:

a. Wanita hendaklah mendidik anak-anaknya dengan baik, iaitu sabar, lemah lembut dan belas kasihan. Janganlah dia memarahi anak-anaknya di hadapan suaminya. Jangan mendoakan keburukan terhadap mereka. Jangan mencela atau memukul mereka kerana sesungguhnya hal itu dapat menyakiti hatinya. Tambahan pula mendoakan keburukan terhadap anak-anak adalah satu perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: “Janganlah kamu doakan keburukan terhadap diri kamu, dan janganlah kamu doakan keburukan terhadap anak-anak kamu, janganlah kamu doakan keburukan terhadap harta kamu, kerana (tatkala kamu berdoa) mungkin tepat pada waktu mustajab, lantas Allah kabulkan doa kamu ( membuatkan kamu menyesal).” [HR Abu Dawud].


b. Hendaklah mendidik anak-anaknya mengenai bersuci, menjaga kebersihan, memelihara diri, berani, tidak bercakap kosong agar mereka tumbuh sebagai umat Islam, hidup dengan Islam dan untuk Islam. Allah akan memperbanyakkan kebaikan bagi mereka dalam masyarakat dan Rasulullah SAW membangga-banggakan mereka dan yang seperti mereka di akhirat kelak.


   Kita simpulkan dari semua ini, bahawa kewajipan wanita sebagai manusia, isteri dan ibu adalah banyak dan rumit. Apatah lagi jika ditambah semua itu dengan tugasnya di luar rumah untuk tempoh masa yang panjang hingga lapan atau sembilan jam baru pulang ke rumah. Ia menantikan siapa yang akan melayannya, bukan dia yang melayan suami dan anak-anaknya! Terhasillah dari situ masalah-masalah rumahtangga, perkelahian dan pertengkaran disebabkan tekanan melampau dan keletihan yang dideritai oleh wanita. Jika Allah telah menyamakan ganjaran wanita yang memelihara rumahtangganya dan ahli keluarganya dengan ganjaran mujahid maka ini sesungguhnya menunjukkan tahap kepentingan tugas ini serta menunjukkan bahawa ia adalah tugas asasi yang disediakan untuk wanita.


   Diriwayatkan bahawa Asma’ bint Yazid ibn as-Sakan r.a datang menemui Nabi SAW dan bertanya: “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku jurucakap kaum wanita Islam. Mereka semua berkata dan berpendapat sepertiku. Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah mengutusmu kepada kaum lelaki dan juga perempuan. Kami telah mempercayaimu dan mengikutimu. Dan bahawasanya kami ini, kaum wanita, terhad bilangan kami, sentiasa duduk di rumah. Dan bahawasanya kamu kaum lelaki , telah diberi kelebihan dengan solat Jumaat, dan menyaksikan jenazah. Apabila mereka keluar untuk berjihad, kamilah yang menjaga harta benda mereka dan memelihara anak-anak mereka. Tidakkah dapat kami berkongsi dengan mereka dalam pahala ini?” Sebaik sahaja jurucakap wanita ini habis dari pengaduannya, Rasulullah menoleh kepada para sahabatnya, seraya berkata kepada mereka: “Pernahkah kamu mendengar pembicaraan seorang wanita yang pandai mengemukakan masalah dalam agamanya daripada wanita ini?” Para sahabat menjawab serentak: “Kami tidak sangka ada seorang wanita yang dapat mengemukakan permasalahan seperti ini, wahai Rasulullah!” Rasulullah lalu menoleh kepada wanita itu seraya berkata: “Beredarlah wahai Asma’! Dan beritahulah kepada kaum wanita yang lain, bahawasanya penjagaan seorang wanita kepada suaminya, dengan mencari keredhaannya, dan membuat segala yang disukainya itu adalah menyamai semua itu.” Lalu beredarlah Asma’ sambil bertahlil dan bertakbir memberitahu khabar gembira mengenai pernyataan Rasulullah SAW kepadanya itu.”


Wanita bekerja adalah mubah:

   Sesungguhnya kerja wanita dan keupayaannya merupakan soal individu yang saling berbeza antara wanita. Merupakan satu kesalahan untuk menjadikan keadaan ini umum kepada semua wanita. Terdapat wanita yang telah bercerai, mandul dan terdesak memerlukan duit dan perlu bekerja. Semua maklum bahawa terdapat penyelesaian kepada semua masalah ini. Wanita dalam Islam meski bagaimana kedudukannya ada orang yang akan memelihara dan menyaranya sama ada bapa, suami, adik-beradik lelaki, anak atau salah seorang dari anggota keluarganya, atau negara, jika tiada sesiapa yang boleh menyaranya. Jika dia ingin bekerja maka diperbolehkan. Kerana ia adalah mubah. Tidak disyaratkan sama ada ia memerlukan harta tetapi yang penting ialah kerja tersebut tidak bertentangan dengan tugas asalnya yang merupakan kefardhuan, iaitu mendidik anak-anaknya, memelihara mereka, menguruskan suaminya dan rumahtangganya.


  Wanita sebagai pengatur rumahtangga, isteri dan ibu akan memperoleh ganjaran yang besar sama ada kerjanya di luar rumah itu untuk kepuasan dirinya, ia adalah mubah. Jika ia melakukannya, ia tidak memperoleh ganjaran melainkan jika untuk menolong orang lain atau mengemban dakwah. Jika dia meninggalkan semuanya itupun tidak akan dibalas dosa. Manakala jika dia memilih antara kefardhuan, iaitu menjadi ibu dan pengatur rumah tangga dan kerjanya di luar rumah semata-mata untuk memperoleh kepuasan diri dan memilih untuk bekerja dengan mengorbankan pemeliharaan keluarga dan anak-anaknya, ia akan mendapat dosa besar kerana hal itu!!


   Kembali kepada syarak di mana ia menjadikan tugas memerintah kepada lelaki sahaja. Kita juga dapati ia menjadikan pemeliharaan anak kepada wanita sahaja. Oleh itu hendaklah kerja-kerja yang berkaitan dengan wanita sebagai wanita diwakilkan kepada wanita dan kerja-kerja yang berkaitan dengan lelaki sebagai lelaki diberikan kepada lelaki.


  Dari sini kita dapati bahawa syarak membolehkan wanita melakukan semua kerja yang bersesuaian dengan tabiat kewanitaannya selain kerja-kerja yang berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan. Mereka dibolehkan untuk menjadi pegawai, jururawat, doktor, jurutera, peguam dan dibolehkan untuk melakukan urusniaga dan jual beli dan melakukan akad, dan penghakiman, memiliki semua jenis pemilikan dan mengembangkan hartanya, melaksanakan urusan hidupnya sendiri, menjadi rakan kongsi, penyewa dan menyewakan kepada orang lain, urusan hartanah dan lain-lain dan menjalankan semua muamalat. Tetapi semua itu di dalam syarat-syarat tertentu yang akan kita sebutkan nanti.


  Masyarakat kita sangat memerlukan kaum wanita yang melakukan tugas-tugas yang lebih utama dilakukan oleh wanita dan kadang-kadang kerja ini menjadi fardhu kifayah untuknya. Umpamanya kita memerlukan para jururawat, doktor dan itu lebih utama dari aurat kaum wanita dan anak-anak perempuan kita tersingkap di hadapan lelaki asing. Kadang-kadang guru pelajar perempuan, khususnya jika tugasnya dalam pengajaran menyumbang kepada penanaman konsep-konsep yang betul. Terdapat pelajar-pelajar muslim yang miskin dan jahil yang tidak dibesarkan dengan pemahaman-pemahaman Islam di rumah mereka maka, yang lebih utama kaum wanita ini tidak dibiarkan mengemban pemikiran kebebasan, demokrasi dan mengajar fesyen dan gaya moden. Jika wanita Islam mampu melaksanakan tugas-tugas tersebut di samping tugasnya di dalam rumah, ia akan memperoleh ganjaran yang besar.


  Justeru, kerja wanita adalah aspek individu yang berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain dan dari satu situasi seorang wanita kepada situasi yang lain. Yang penting di sini, hukum syarak (seruan pembuat hukum (Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba) dan as-Syari’ menyatakan bahawa tugasnya di luar rumah adalah mubah tetapi berdasarkan syarat-syarat tertentu.


Syarat-syarat wanita bekerja di luar rumah:

Benar bahawa syarak membolehkan wanita bekerja dan membolehkan ia keluar ke pasar-pasar untuk menunaikan keperluannya, tetapi ia mensyaratkan kepadanya beberapa perkara sebelum ia keluar yang secara ringkasnya:


1. Menundukkan pandangan dan tidak bercampur gaul tanpa keperluan kerja, menjauhkan tempat-tempat syubhat dan berhati-hati dari semua itu: Ia merupakan perkara yanga amat susah. Dalam ketiadaan daulah Islam yang mana kita dapati bahawa pejabat-pejabat dalam syarikat-syarikat mewajibkan adanya para pekerja dalam satu bilik lebih dari sembilan jam secara berterusan yang memberi kebebasan untuk memandang dan berbincang di luar urusan kerja. Lebih utama adalah memisahkan tempat-tempat wanita dan lelaki di dalam syarikat itu sendiri dan hubungan antara keduanya dilakukan betul-betul pada ketika tugas mereka memerlukan hal tersebut.


2. Menjaga kesopanan wanita dengan memakai pakaian syarak yang sempurna dalam kehidupan umum. Tidak ragu lagi kerana wanita keluar dalam keadaan sopan dan serius akan menghalang pandangan mereka yang ada keraguan dalam hatinya, iaitu orang yang tidak takut kepada Allah.


3. Mencegah dari berkhalwat. Khalwat adalah apabila seorang wanita dan seorang lelaki berada di suatu tempat yang tidak membolehkan seorang yang lain untuk masuk tanpa izin keduanya. Contohnya seorang pengurus mengadakan mesyuarat dengan seorang pegawainya dengan menutup pintu biliknya serta meminta agar mereka tidak diganggu oleh sesiapa. Yang dituntut adalah mesyuarat diadakan di dalam bilik tetapi pintunya dibiarkan terbuka hingga sesiapa yang lalu di hadapan bilik dapat melihat mereka.


4. Menghalang wanita dari melakukan sebarang kerja yang membahayakan akhlaknya atau merosakkan masyarakat. Maka wanita dilarang untuk bekerja dalam pekerjaan yang bermaksud untuk mengeksploitasi kewanitaannya seperti bertugas dalam pasaraya bagi tujuan menarik pelanggan, di kedutaan yang bertujuan menggunakan kewanitaannya untuk memperoleh tujuan politik, pramugari kapal terbang untuk menarik pelanggan, setiausaha yang berpenampilan menarik agar mereka dapat berlaku lembut dengan pelanggan, tetamu dan malah pengurusnya juga!


5. Menghalang wanita melakukan sebarang kerja yang haram seperti bekerja di bank-bank dan syarikat-syarikat kapitalis dan syarikat bursa saham serta tempat-tempat menjual arak dan daging khinzir.


   Hal ini mengingatkan kita bahawa masyarakat hari ini memandang wanita terhad kepada materi, jasad dan kepentingan semata. Bentuk tubuh si gadis merupakan faktor penting, bahkan menjadi syarat asas untuk diterima bekerja. Begitu juga, sistem sekarang ini tidak menjamin hak-hak ibu dalam hal melahirkan anak, menyusu dan menjaga mereka. Biasanya mereka diberikan cuti empat puluh hari sahaja untuk menguruskan hal bayinya itu! Banyak syarikat lain sebenarnya membuang pekerja wanita yang hamil dan ada juga yang langsung tidak mengambil pekerja wanita! Oleh yang demikian menjadi bertambah sukar bagi wanita untuk mencari kerja dengan mengambil kira tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain.


  Sistem yang zalim ini serta situasi yang rosak ini menyusahkan urusan-urusan kaum wanita. Kewujudan kita dalam masyarakat yang tidak menjaga perkara-perkara yang haram dan tidak komited dengan pengaturan hubungan antara lelaki dan wanita agar bersesuaian dengan ajaran-ajaran agama kita yang suci, menyukarkan lagi kerja wanita dan menuntut kesabaran dan kecekalan yang lebih. Hal itu menyebabkan ramai pemudi lebih suka tinggal di rumah (hingga tidak berkahwin pun) daripada bekerja dan berhadapan dengan gangguan dan provokasi setiap hari. Sedangkan diketahui bahawa ramai wanita yang berkesanggupan untuk menyesuaikan kedua-dua hal tersebut meskipun hal itu menuntutnya agar mengerahkan usaha dengan lebih besar dan berkali ganda.


   Di akhir kajian ini kita dapat simpulkan: bahawa asal permasalahan sekitar wanita bekerja adalah kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita disebabkan kefahaman yang rosak yang tersebar dan bercokol dalam pemikiran kita. Hal itu merupakan natijah dari tidak diterapkannya hukum-hukum Allah. Oleh itu hendaklah kita letakkan keutamaan kita untuk menghilangkan kerosakan ini dan bekerja untuk mengubahnya melalui perubahan konsep-konsep mengenai kaum wanita dalam masyarakat kita dan meminta semua orang untuk mengembalikan pemerintahan sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah supaya keadilan kembali dan ketenangan, kebahagiaan dan kegembiraan meliputi ahli keluarga kita. Kesengsaraan wanita tidak terletak pada isu dia bekerja di luar rumah semata, dan ini berbeza antara seorang wanita dengan yang lain. Penderitaan sebenarnya terletak pada realiti rosak yang masih kekal dalam keadaan rosaknya. Penderitaan sebenarnya dan penderitaan semua manusia adalah kerana Islam tidak dijadikan roda yang kehidupan itu dapat disesuaikan dengannya.


Kepada saudari yang bekerja:

Di akhir kajian saya ini, keadaan saya telah menjadi stabil dan tenang serta lega hati saya kerana saya melakukan peranan sebenar saya pada hari ini, iaitu asas Allah menciptakan saya sebagai wanita. Saya tidak perlu untuk bekerja di luar rumah untuk merealisasikan kepuasan diri dan membuktikan kecerdikan saya. Pada hari ini wahai saudari-saudari saya ada di rumah, memberi pelukan hangat, tangan yang mesra terhadap suami, anak-anak, ahli keluarga dan mahram-mahram saya. Dan inilah peranan yang besar dan penting berlawanan dengan sangkaan-sangkaan yang dilemparkan oleh musuh Islam kepada kita.


Pesanan buat saudariku yang bekerja:

  Sekiranya saudari tidak terdesak untuk bekerja, dan jika saudari mempunyai rumah, suami dan anak-anak, mereka lebih memerlukan saudari dari sebarang kerja lain. Mereka lebih penting kepada saudari dari harta maka tinggallah dengan mereka, wahai kaumku untuk mengurus dan mendidik mereka. Peliharalah rumah saudari, suami dan anak-anak saudari serta sediakan buat mereka kehidupan yang tenang dan penuh kasih sayang. Rumah saudari lebih utama buatmu saudariku.


  Seterusnya serahkan diri saudari untuk bekerja di jalan Allah dan menegakkan kalimah-Nya. Allah adalah yang lebih penting dan lebih manis dari sebarang kerja lain yang saudari telah lakukan. Umat memerlukan saudari. Kaum wanita lain yang dizalimi, yang ditindas dan sesat memerlukan saudari. Kewajipan kitalah kaum wanita seperti kaum lelaki untuk bekerja bersama mereka untuk melakukan perubahan supaya kita mendapat keredhaan Allah dan kemuliaan di dunia dan syurga yang kekal di akhirat.



Sumber: Terjemahan dari Majalah Al Izzah, Lubnan. Edisi ke 8.

JOm Baca Lagi! (^__^)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Catatan Popular